Anwar

MoU antara Bank Negara Malaysia dan Bank Kebangsaan Kemboja sangat bermakna – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan memorandum persefahaman (MoU) antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Kebangsaan Kemboja (NBC) yang dimeterai hari ini adalah sangat bermakna.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, inisiatif itu adalah antara kaedah diambil negara dalam menangani isu nilai mata wang ringgit.

“Kami (Malaysia) mempunyai kejayaan relatif dengan China apabila 25 peratus daripada jumlah perdagangan menggunakan mata wang tempatan (ringgit), Thailand 18 peratus manakala Indonesia kira-kira 20 peratus.

“Dengan Kemboja, saya fikir dengan menggunakan mata wang tempatan sudah tentu ia akan mengurangkan beban dan tekanan daripada terikat kepada dolar Amerika Syarikat (AS),” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet sempena lawatan rasmi sehari rakan sejawatnya itu ke Malaysia, di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin berkenaan menyaksikan pertukaran MoU dalam bidang kewangan inovatif dan perkhidmatan pembayaran antara BNM dan NBC untuk memperkukuh kerjasama dalam inovasi kewangan dan pembayaran.

MoU itu telah ditandatangani dan diserahkan oleh kedua-dua gabenor iaitu Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour dan Gabenor NBC, Dr Chea Serey.

Sementara itu, BNM dalam kenyataan memaklumkan, MoU tersebut akan menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara kedua-dua bank pusat tersebut bagi memacu inovasi kewangan serta memastikan pembayaran rentas sempadan yang lebih cekap dan selamat demi manfaat individu dan perniagaan di kedua-dua negara.

Related Articles

Back to top button