Semasa

PEDi dijenama semula sebagai Nadi mulai Mac ini

Pusat Ekonomi Digital (PEDi) akan dikenali sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) berkuat kuasa 1 Mac ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, seiring pertukaran nama itu, peranan kesemua 911 pusat sehenti yang menyediakan capaian internet kepada komuniti termasuk 186 lagi yang akan diwujudkan tahun ini akan diperluas.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan membuat hebahan, termasuk menghubungi pengurus Nadi seluruh negara, untuk pastikan beberapa aspek penjenamaan dilakukan dengan tertib dan baik.

“Lebih daripada penjenamaan atau menamakan semula PEDi kepada Nadi, ada beberapa aktiviti yang akan direncanakan semula. Contohnya kita akan tingkatkan pemahaman di peringkat komuniti mengenai program dan inisiatif kerajaan seperti AI untuk rakyat, selain menjadikan Nadi, pusat sebaran maklumat mengenai program, aktiviti, bantuan, usaha, serta senarai bantuan kerajaan,” katanya.

Fahmi sedang berada di Barcelona bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Kongres Dunia Mudah Alih 2024 (MWC2024).

Sementara itu jelasnya, penjenamaan semula PEDi kepada Nadi, termasuk tugas, tanggungjawab, aktiviti serta programnya itu merupakan hasil kaji selidik sepanjang tahun lepas.


BACA LAGI: PM Anwar umum pembinaan 186 PEDi baharu, depani kesejangan digital

Ia juga dilakukan selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu PEDi dirangka semula, bagi mengimbangi penambahan elaun diberikan kepada pengurus PEDi seperti diumum 29 Nov lepas.

“Pihak MCMC dan kerajaan membelanjakan jumlah yang besar, jadi kita ingin lihat jumlah ini dimanfaatkan bukan hanya satu kampung atau satu taman, tetapi lebih luas,” katanya.

Related Articles

Back to top button