Anwar

PM Kemboja bertemu PM Anwar bincang kerjasama strategik antara dua negara

Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet tiba di Malaysia untuk lawatan rasmi selama sehari atas jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Pesawat khas yang membawa Hun Manet dan delegasinya mendarat pada 9.30 pagi di Kompleks Bunga Raya, KLIA.

Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Duta Besar Malaysia ke Kemboja, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim dan Duta Besar Kemboja ke Malaysia, Ouk Chandara.

Lawatan sulung Hun Manet ke Malaysia itu kemudiannya disambut dalam satu majlis istiadat sambutan rasmi di Dataran Perdana Putra, Kompleks Perdana Putra di Putrajaya.

Istiadat disambut oleh Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja berkekuatan tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat yang berpangkalan di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur diiringi oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja.

Ketibaan beliau pada jam 10.15 pagi disambut Anwar yang turut dihadiri kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Selepas majlis tersebut, Anwar mengadakan mesyuarat dua hala bersama-sama Manet bagi membincangkan kerjasama strategik antaranya perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, komunikasi maklumat serta peranan Malaysia dalam pembangunan sosioekonomi komuniti Muslim di Kemboja.

Kedua-dua pemimpin kemudian menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kewangan inovatif dan perkhidmatan pembayaran antara Bank Negara Malaysia dan Bank Kebangsaan Kemboja sebelum disusuli sidang media bersama untuk memaklumkan hasil perbincangan.

Lawatan Rasmi ini akan memberi nilai tambah ke arah pengukuhan hubungan Malaysia-Kemboja dalam konteks dua hala mahupun kerjasama serantau ASEAN.

Kemboja merupakan antara negara terawal menjalinkan hubungan diplomatik dengan Malaysia sejak tahun 1957.

Nilai dagangan dua hala Malaysia-Kemboja direkodkan pada RM3.02 bilion dengan eksport Malaysia ke Kemboja bernilai RM2.35 bilion iaitu peningkatan 1.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Syarikat Malaysia turut melaksanakan 162 projek di Kemboja dengan nilai pelaburan berjumlah RM14.4 bilion.

Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, dalam rangka lawatan tersebut, Hun Manet akan mengadakan Kunjungan Menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Related Articles

Back to top button