Semua lapisan masyarakat wajar hayati titah Agong – Fahmi Fadzil
Semua lapisan masyarakat diseru untuk menghayati titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 semalam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, titah baginda yang tidak akan melayan cubaan menggugat kestabilan politik negara memberi isyarat jelas tentang hasrat baginda.
“Kestabilan adalah asas penting untuk membina semula negara. Daulat Tuanku,” kata Menteri Komunikasi itu menerusi hantaran di laman Facebook dengan disertakan perkongsian infografik titah Sultan Ibrahim.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan peringatan, nasihat dan pandangan dalam pelbagai topik antaranya tingkah laku Ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat semasa persidangan, keperluan merangka dasar kukuh perpaduan negara, isu karenah birokrasi dan isu berkaitan hutang negara.
Menyentuh mengenai kestabilan politik, Sultan Ibrahim bertitah agar ahli politik kerajaan dan pembangkang bersatu hati dan berkerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat.
BACA LAGI: PM Anwar beriltizam mereformasi ekonomi, julang kembali darjat rakyat
Segala usaha membela nasib rakyat tegas baginda perlu menjadi keutamaan Ahli Parlimen dan bukannya parti politik atau diri sendiri.
“Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati kerajaan perpaduan yang telah dibentuk. Jika ada yang hendak bermain politik tunggulah masa pilihan raya akan datang,” titah baginda.