Sukan

Stadium utama di semua negeri terima RM500,000 sebagai persediaan kejohanan Liga Malaysia

Pengukuhan dengan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri dalam pembangunan belia dan sukan di peringkat akar umbi akan dapat dicapai dengan adanya perbincangan secara bersama.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh telah mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menteri/Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri bertempat di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Isnin bagi membincangkan cadangan menaik taraf stadium utama di semua negeri.

KBS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan bantuan geran sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf stadium sebagai persediaan kejohanan Liga Malaysia.

“Kerajaan negeri perlu menentukan lokasi stadium yang dipersetujui setelah mendapat pandangan Malaysian Football League (MFL).

“Di mana peruntukan RM300,000 untuk naik taraf sistem saliran padang serta menggunakan khidmat kontraktor yang berwibawa dan sesuai dengan standard yang digariskan oleh MFL.

“Manakala peruntukan RM200,000 pula digunakan untuk naik taraf padang dengan menukar rumput kepada jenis rumput bilah halus (fine-blade grass),” katanya.

Menurutnya, bantuan itu diberikan agar padang bola sepak berada dalam keadaan baik dengan ketiadaan air bertakung atau banjir semasa Liga Malaysia berlangsung nanti.

Dalam pada itu, bagi mengurangkan kos operasi penggiat industri sukan, KBS turut mencadangkan supaya kerajaan negeri untuk mengadakan perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) masing-masing bagi melihat semula kadar bayaran lesen yang dikenakan terhadap premis-premis berkaitan sukan terutamanya gimnasium dan pusat snuker.

Antara perkara lain yang dibicangkan termasuk membuat pindaan kandungan Kod Sukan Selamat dengan memasukkan elemen baharu iaitu larangan merokok termasuk rokok elektronik semasa penganjuran atau aktiviti sukan.

“Individu atau organisasi yang terlibat dalam perniagaan berkaitan produk rokok elektronik tidak dibenarkan untuk menganjur, menaja, mempromosi, mengiklan, menjual, memberi sebagai hadiah atau meletakkan cap dagangan dalam apa-apa penganjuran atau menjalankan aktiviti sukan dan belia.

“Kerjasama kerajaan negeri bagi menjayakan program Rakan Muda di peringkat negeri menerusi pelaksanaan program 10 Gaya Hidup, penggunaan fasiliti, penggunaan logo Rakan Muda, penyediaan dana dan pelaporan,” katanya.

Related Articles

Back to top button