YDPA sokong langkah penjimatan oleh kerajaan, termasuk melalui subsidi bersasar
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan sokongan terhadap langkah penjimatan yang dilakukan kerajaan termasuk melalui pelaksanaan subsidi bersasar.
Melalui titah ucapan ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen pada Isnin, baginda menegaskan langkah itu wajar dilakukan berikutan kedudukan kewangan negara yang telah lama lemah serta tanggungan hutang yang semakin melebar.
“Saya berasa kecewa apabila dimaklumkan bahawa kerajaan tanggung beban hutang semakin besar. Ini disebabkan sejak 1968 kerajaan sentiasa berada dalam defisit kekal.
“Adakah beban ini akan kita tinggalkan untuk ditangung anak cucu kita nanti? Jawapannya adalah pada semua ahli dewan di sini.
“Keadaan kewangan kerajaan yang telah lama lemah, akan menyukarkan kerajaan melaksana projek pembangunan baharu, atau memberikan suntikan kewangan, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, “titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah, dasar baharu yang lebih menyeluruh perlu diteruskan dan diperkenalkan.
Ini antaranya Akta Kewangan dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang disifatkan sebagai langkah pembaharuan bagi meningkatkan urus tadbir pengurusan kewangan supaya lebih telus dan bertanggungjawab.
BACA LAGI: Kerajaan perlu rangka dasar kukuh perpaduan rakyat – Sultan Ibrahim
Baginda juga mahu kelemahan urus tadbir di semua peringkat perlu diperiksa termasuk di dalam badan berkanun dan syarikat milik kerajaan serta anak syarikat.
“Saya berharap semasa pemerintahan saya ini kerajaan akan memperolehi lebihan fiskal setiap tahun.
“Kerajaan juga mesti bersikap tegas bagi membendung ketirisan dan penyelewengan dana awam,” titah baginda.
Sultan Ibrahim sementara itu turut menegaskan akan meneliti perbelanjaan kerajaan dan memastikan setiap cadangan perbelanjaan adalah untuk perkara yang betul-betul diperlukan.