Kabinet lulus cadangan pembesaran LTAPP – Menteri Pengangkutan
Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada minggu lalu sudah meluluskan cadangan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Bayan Lepas.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook ketika ditemui di Langkawi pada Selasa, berkata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan bertanggungjawab bagi proses tender dan pembiayaan projek berkenaan yang dianggarkan menelan kos melebihi RM 1 bilion.
“Angka (kos) sebenar akan hanya dapat ditentukan selepas proses tender,” jelasnya selepas hadir merasmikan acara Routes Asia 2024 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di Padang Mat Sirat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata akan mempercepat proses pembesaran lapangan terbang itu.
Keputusan itu bagi menampung jumlah penumpang di LTAPP yang semakin bertambah.
BACA LAGI: PM arah kemudahan pintu masuk negara dipertingkat, tampung kedatangan pelancong
Malah dalam satu acara di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu, Anwar turut menggesa agar semua projek penyelenggaraan dan penambahbaikan di pintu masuk negara, meliputi Lapangan Terbang serta pelabuhan disegerakan juga untuk menampung kehadiran pelancong yang semakin bertambah.
Sementara itu Loke ketika mengulas projek pembesaran LTAPP berkata, kerajaan berharap keseluruhan projek pembesaran Lapangan Terbang itu dapat dimulakan pada tahun ini dan siap dalam tempoh kira-kira empat tahun.