Mahkamah

Kes rasuah lebih RM200 juta Mahiaddin dikembalikan ke Mahkamah Sesyen

Mahkamah Rayuan pada Rabu mengarahkan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta yang dihadapi Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Mahiaddin Yassin dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Muhyiddin atas empat tuduhan rasuah terbabit.

Turut bersidang Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S M Komathy Suppiah.

Justeru, keputusan itu membolehkan perbicaraan berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melainkan Muhyiddin memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan dan memperoleh perintah penangguhan.

“Pertuduhan berkenaan tidak jelas. Tiada keperluan untuk memberikan butiran lanjut,” kata Hadhariah di kamar mahkamah, hari ini.

Pada 15 Ogos 2023, Mahkamah Tinggi membebaskan Mahiaddin atas empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah RM232.5 juta bagi Bersatu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan berkenaan selepas membenarkan permohonan beliau untuk membatalkan tuduhan terbabit.

Mahiaddin, 77, ketika menjadi Perdana Menteri kelapan didakwa di Mahkamah Sesyen kerana menggunakan kedudukan untuk suapan RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi Bersatu.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya di antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Selain itu, Pengerusi Perikatan Nasional berkenaan masih berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang kesemuanya berjumlah RM200 juta.

Related Articles

Back to top button