Parlimen

Naccol bakal bincang cadangan kecualikan kenaikan SST terhadap bil air dan elektrik

Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) yang dijadualkan pada 20 Mac depan akan meneliti cadangan mengecualikan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas bil air dan elektrik.

Perkara itu dinyatakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Armizan Ali pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Jelasnya, perkara berkaitan kenaikan SST telah dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan sebelum ini.

“Perkara berkaitan kenaikan SST memang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dipengerusikan timbalan perdana menteri kira-kira dua minggu lepas … ada satu kertas khusus untuk kita lihat kesan dan impaknya.

“…dan insya-Allah perkara dibangkitkan Yang Berhormat Ayer Hitam kami akan bawa untuk dikaji dan bawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan dibangkitkan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang turut mencadangkan supaya bil air dan elektrik dikecualikan daripada kenaikan SST.

Sementara itu menurut Armizan, kerajaan melalui Naccol akan memastikan setiap penggubalan dasar dan program yang dilaksanakan melalui kementerian dan agensi akan mempertimbangkan elemen kos sara hidup.

“Selain penggubalan dasar dan program utama merentasi pelbagai kementerian, strategi dan pendekatan intervensi dan mitigasi juga dilaksanakan dalam menangani pelbagai isu berkaitan kos sara hidup, termasuk menggalakkan penglibatan pelbagai pemegang taruh, tambahnya.

BACA LAGI: Kerajaan lulus 22 projek Tenaga Boleh Baharu bekal tenaga elektrik hijau

Di Dewan Rakyat juga beliau memberitahu kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM58.1 bilion dalam Belanjawan 2024 untuk subsidi, insentif dan bantuan dalam menangani pelbagai isu dan kesan berkaitan kos sara hidup rakyat.

Antara inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan adalah seperti Program Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani; Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara); Inisiatif FlySiswa dan Skim Harga Diskaun Tiket Musim Perayaan; Program MyLesen (B2, PSV, E DAN GDL); Pas Bulanan Tanpa Had My50; dan Skim Perubatan Madani.

Related Articles

Back to top button