PM Anwar ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, junjung kasih buat Al-Sultan Abdullah
Perdana Menteri merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Perkara itu dinyatakan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Selasa.
Anwar selaku Ketua Majlis Parlimen ke-15 melalui ucapannya menzahirkan keyakinan kerajaan dan rakyat akan mendapat limpah rahmat serta kesejahteraan dibawah pemerintahan seorang Raja yang adil, bijaksana dan prihatin terhadap rakyat jelata serta negara.
“Sebagai teras pemerintahan Raja Berperlembagaan, saya amat berkeyakinan dengan pemerintahan Yang di-Pertuan Agong kelak, Malaysia bakal diberkati dengan nikmat perpaduan dan kemakmuran yang berpanjangan,” katanya.
BACA LAGI: Dr Wan Azizah menghadap Raja Permaisuri Agong di Istana Negara
Melalui ucapan sama, Anwar turut merafak sembah ucapan menjunjung kasih dan setinggi-tinggi penghargaan Dewan Rakyat kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Sepanjang menaungi negara sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 selama lima tahun lalu baginda jelasnya telah mengemudi negara dengan adil dan bijaksana.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan ucapan itu oleh Perdana Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 14(1)(j) Dewan Rakyat.