Semasa

Sewa premis kepada warga asing, 364 lesen perniagaan rakyat tempatan dibatalkan

Pihak berkuasa tempatan (PBT) membatalkan 364 lesen perniagaan membabitkan premis rakyat tempatan yang dikesan telah disewakan kepada warga asing.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melalui satu kenyataan berkata, pembatalan tu susulan operasi dijalankan agensi penguatkuasaan sejak 2022 hingga 15 Feb lalu.

Beliau berkata PBT tidak mengiktiraf dan membenarkan warga asing sebagai penjaja dan peniaga kecil, malah, pihaknya juga tidak membenarkan penggunaan warga asing sebagai pekerja atau pembantu di bawah lesen penjaja di premis PBT.

“Ini kerana kadar harga sewaan ditetapkan PBT adalah bawah harga pasaran dan bertujuan untuk memberikan peluang perniagaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut Kor Ming berkata, syarat permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan PBT bakal diperketat bagi mengekang monopoli perniagaan oleh warga asing.

“Undang-Undang Kecil (UUK) menetapkan pengeluaran lesen perniagaan hanya dikeluarkan untuk warganegara Malaysia sahaja dan membenarkan warga asing diambil bekerja sebagai pekerja atau pembantu dengan syarat memiliki pas kerja dan permit dagang sah.

“PBT tidak pernah membenarkan warga asing untuk memohon atau memiliki lesen penjaja, peniaga kecil, premis perniagaan, kedai runcit, kedai makan, bengkel kereta dan di pasar-pasar, selaras Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja dan UUK Tred, Perniagaan dan Perindustrian.

“Kerajaan negeri akan memainkan peranan dengan memperketatkan syarat permohonan baharu dan pembaharuan lesen perniagaan PBT di negeri masing- masing,” jelasnya.

BACA LAGI: Lesen peniaga boleh dibatal, digantung sekiranya sewa premis kepada warga asing

Sementara itu melalui kenyataan sama, beliau turut memaklumkan 25,724 premis perniagaan lain turut dibatalkan lesen sepanjang tempoh operasi itu susulan pelanggaran pelbagai syarat ditetapkan.

“PBT tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran yang jelas terhadap syarat lesen yang dikeluarkan oleh mana-mana perniagaan dan pemegang lesen dengan mengambil tindakan tegas secara sitaan, kompaun, penutupan premis dan pembatalan lesen,” katanya.

Related Articles

Back to top button