Nasional

Tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar dewan seolah ‘perlekeh’ institusi diraja – Farhan Fauzi

Ahmad Farhan Fauzi menyifatkan tindakan pembangkang yang keluar Dewan Rakyat sebagai tanda protes ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sebagai suatu perbuatan yang membelakangi titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Tambahan pula katanya, baginda sudah mengingatkan kepada semua Ahli Parlimen untuk menunjukkan contoh teladan yang baik kepada rakyat ketika berada di Dewan Rakyat.

“Protes yang dilakukan pembangkang terhadap isu ini dengan keluar dewan beramai-ramai jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati institusi diraja, kegagalan total mempraktikkan politik matang dan hanya sibuk berpolitik semata-mata.

“Kebiadaban tindakan pembangkang ini seolah-olah ingin menyindir kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong yang bertitah agar Kerajaan Madani terus dikekalkan sehingga Pilihan Raya Umum yang akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Farhan yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri berkata, sepatutnya isu seperti itu tidak diperbesarkan oleh pembangkang kerana ianya telah mengikut Peraturan Mesyuarat 14(2) yang secara jelas membenarkan pihak kerajaan mengemukakan usul bagi sesuatu perkara tanpa perlu dibahas dan diberi notis.

Tambah beliau, sebelum itu juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman telah mengemukakan permohonan kebenaran kepada Dewan Rakyat untuk membenarkan Perdana Menteri memberi ucapan pujian dan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong serta telah mendapat majoriti terhadap usul yang dibawa.

“Ahli Parlimen pembangkang sepatutnya menyokong tindakan Perdana Menteri menyampaikan ucapan menjunjung kasih kepada KDYMM YDPA yang telah meletakkan kemuliaan dan keutamaan kepada rakyat sepanjang pemerintahannya.

“Inisiatif oleh Perdana Menteri itu turut mewakili suara rakyat dan sepatutnya semua ahli Dewan Rakyat senada dalam mengucapkan penghargaan dan penghormatan kepada bekas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah buat kali terakhir,” ujarnya.

Farhan turut menggesa agar Ahli Parlimen pembangkang untuk menghentikan ‘politiking’ dan memberi tumpuan untuk bersama dengan Kerajaan Madani memacu ekonomi negara yang lebih pesat serta menjadi pembangkang yang berfungsi di dalam Dewan Rakyat.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan beliau menyampaikan Ucapan Tahniah dah Ikrar Taat Setia di Dewan Rakyat, pada Selasa walaupun pembangkang mendakwa ia tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Dalam masa sama, Perdana Menteri membantah keras sikap pembangkang yang bertindak keluar Dewan Rakyat dengan menyifatkan sebagai tidak sopan dan tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.

Related Articles

Back to top button