Anwar, Perdana Menteri pertama sudi terima kunjungan pemimpin Bersih
Kerajaan Perpaduan terbuka kepada sebarang cadangan atau saranan khususnya dalam penambahbaikan proses pilihan raya dan reformasi institusi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beberapa saranan yang diberikan termasuk daripada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) sudah dalam perhatian kerajaan.
“Terdapat antara cadangan dalam memorandum tersebut telah pun berada dalam pertimbangan dan tindakan Kerajaan Perpaduan,” katanya melalui satu catatan di Facebooknya.
Ia sebagai mengulas kunjungan perwakilan Bersih diketuai oleh pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz di pejabatnya di Putrajaya.
“Dalam pertemuan ini saya juga turut menekankan kepentingan mengukuhkan pendidikan politik dan meningkatkan literasi politik dalam kalangan masyarakat ke arah politik Malaysia yang lebih baik.
“Dialog serta ruang bertukar pandangan seperti ini penting bagi memahami aspirasi masyarakat sivil serta cabaran yang dihadapi oleh kerajaan khususnya dalam isu yang dikemukakan dalam memorandum ini,”
“Pendekatan yang lebih inklusif dalam mendengar sendiri pandangan masyarakat sivil seperti BERSIH diharap dalam meningkatkan lagi sinergi masyarakat sivil dengan kerajaan dalam proses demokrasi negara,” kata Anwar.
BACA LAGI: Agong, Raja-Raja Melayu sokong tingkat tatakelola, bersihkan negara dari amalan rasuah
Sementara itu, BERSIH dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berbesar hati kerana mendapat peluang bertemu dan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri.
“Anwar adalah Perdana Menteri pertama yang berjumpa dengan pimpinan BERSIH untuk membolehkan perbincangan dibuat bersama mengenai usaha melunaskan agenda Reformasi,” kata kenyataan itu dipetik laporan media.