Politik

Dua Ahli Parlimen Bersatu sedia kosongkan kerusi

Dua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyatakan kesediaan untuk mengosongkan kerusi sekiranya pindaan perlembagaan parti itu kelak melarang mereka daripada memberikan sokongan kepada pihak ketiga.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ini disebabkan sokongan yang diberikan olehnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini adalah muktamad.

“Saya memberikan sokongan selepas saya fikir selama setahun berada di pihak pembangkang, tidak ada apapun perkara yang boleh kita manfaatkan. Maka saya bersedia (kosongkan kerusi).

“Daripada saya tarik balik sokongan (kepada Anwar) asalnya (Perikatan Nasional) tak boleh buat apa-apa. Saya rela rakyat buat keputusan,” katanya pada sidang medianya di Pusat Media Parlimen, hari ini.

Pada 2 Mac nanti, Bersatu akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas yang dijangka akan meminda perlembagaan parti susulan tindakan enam Ahli Parlimen parti itu menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Syed Abu Hussin, Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Dalam pada itu, Mohd Azizi yang turut bersama dalam sidang media berkenaan turut menyatakan beliau bersedia untuk mengosongkan kerusi dan bersedia menyerahkan mandat kepada rakyat jika perlembagaan Bersatu yang akan dipinda memaksa beliau berbuat demikian.

“Kenyataan sokong PMX adalah daripada hati dan saya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengosongkan kerusi.

“Kita bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk mengosongkan kerusi sekiranya itu adalah kenyataan yang perlu diterima,” katanya.

Related Articles

Back to top button