ekonomi

KEB 2024: agenda perkasa ekonomi bawa manfaat untuk semua – Pengarah MINDA-UKM

Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dijadual berlangsung hari ini disifatkan sebagai satu agenda berperlembagaan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif UKM (MINDA-UKM) Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, agenda itu dilihat akan memberi manfaat kepada semua melalui matlamatnya untuk memperkasa ekonomi.

“Dalam konteks ini, saya merasakan bahawa ia bersifat sebagai satu agenda berperlembagaan.

“Agenda itu adalah milik semua orang, bukan bumiputera sahaja. Ia adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia.

“Jadi, amat tepat sekali saranan Perdana Menteri untuk mengajak masyarakat bukan bumiputera datang bersama, satu naratif terpahat kuat,” katanya.

Dr Noor Azlan berkata begitu pada sidang media ‘Memperkasakan Ekonomi Bumiputera Apa Yang diharapkan?’ di Kuala Lumpur pada Rabu.

Ketika merasmikan prapelancaran KEB 2024 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kongres tersebut mengharapkan kerjasama dan penyertaan bersama daripada masyarakat Cina dan India bagi membantu menangani masalah kemiskinan, selain membincangkan isu berkaitan ekonomi bumiputera.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata beliau akan menjemput pemimpin dewan perniagaan yang mewakili masyarakat Melayu, Cina dan India untuk memberikan pandangan dan input mereka supaya KEB 2024 tidak dianggap eksklusif.

BACA : KEB 2024 bakal jadi titik tolak pembangunan sosioekonomi bumiputera

Mengulas lanjut perkara itu, Dr Noor Azlan berkata, ia merupakan naratif KEB 2024 yang sangat penting, selain menepati naratif economic reasoning of development yang perlu diusahakan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Sementara itu, beliau turut menegaskan, apa-apa polisi yang bersifat afirmatif perlu diselesaikan dalam menangani isu ekonomi bumiputera.

Justeru, empat perkara tersebut iaitu polisi yang jelas, faktor identifikasi, bentuk mekanisme untuk capai matlamat dan waktu pelaksanaan adalah sangat penting.

Related Articles

Back to top button