ekonomi

Kerajaan komited kembang ekonomi digital, jadi peneraju di rantau Asean

Kerajaan komited mengembangkan ekonomi digital bagi memenuhi keperluan pelaburan, kata Menteri Digital, Gobind Singh Deo.

Melalui ucaptama di acara Tech Nexus 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu beliau berkata, usaha itu bagi mewujudkan jalinan strategik antara inisiatif kerajaan dan pelaburan teknologi sekaligus melonjak ekonomi negara. seiring dengan kedudukan Malaysia yang mempunyai gabungan faktor unik dan menjadi hab pelaburan utama di Asia Tenggara.

Malah jelasnya, Malaysia juga bersedia sebagai peneraju digital di Asean, didorong oleh tenaga kerja muda dan mahir, ekosistem teknologi yang dinamik serta persekitaran kawal selia serba kondusif bagi pertumbuhan perniagaan.

“Bersandarkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar yang mampan dan lokasi strategik sebagai nadi Asean, Malaysia menawarkan akses pasaran pengguna celik teknologi yang merangkumi lebih 400 juta pengguna digital di rantau ini.

“Dalam landskap digital masa kini yang pesat berkembang, lapangan global itu telah berubah dan menawarkan peluang baharu bagi tujuan inovasi serta pelaburan dalam teknologi baharu selain pembangunan penyelesaian bagi pasaran dengan pertumbuhan tinggi.

“Sudah semestinya Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan peluang-peluang ini menerusi ekosistem, pekerja mahir dan persekitaran kawal selia yang menyokong,” katanya.

Acara Tech Nexus yang dianjurkan oleh Endeavor Malaysia selama sehari itu bertujuan memupuk hubungan dan penerimagunaan inovasi dalam kalangan pengasas serta penggiat utama industri terbabit.

Platform itu turut diperluas kepada 42Geeks, organisasi berprestij yang menghimpunkan lebih 50 teknokrat dan pengasas terkemuka dari Amerika Syarikat, Filipina, Arab Saudi, Brazil, Jepun dan Singapura.

BACA LAGI: KKDW peruntukkan RM1.7 juta bantu usahawan beralih ke pendigitalan perniagaan

Sementara itu menurut Gobind,kerajaan mensasarkan untuk menjadikan Kuala Lumpur antara 20 bandar raya global yang menawarkan ekosistem terbaik untuk perniagaan pemula niaga menerusi KL20, pelan tindakan sektor yang bakal dilancarkan tahun ini.

Malah, seiring dengan hasrat kerajaan MADANI, Kementerian Digital berhasrat memupuk ekosistem teknologi yang membolehkan kalangan penggiat berinovasi dan memacu penyelesaian transformatif untuk masyarakat.

Related Articles

Back to top button