Pemimpin pembangkang terus diam membisu usaha SPRM siasat golongan ‘maha kaya’ terkait rasuah – PM Anwar
Pemimpin pembangkang dilihat masih terus diam membisu dan tidak menyatakan sebarang sokongan terhadap usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat golongan ‘maha kaya’ yang terkait dengan rasuah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, malah ada di kalangan mereka yang didakwa membela tokoh besar terbabit yang berdepan siasatan oleh agensi berkenaan.
Katanya lagi, pihak berkenaan sebaliknya hanya menuduh siasatan terhadap ‘maha kaya’ dibuat kerana ‘dendam kesumat’.
“Saya lihat di Parlimen, pembangkang mengelupur seolah-olah marah, benci dan tidak ada suara pembangkang yang sokong langkah membanteras rasuah. Bagi saya aneh.
“Saya semasa menjadi pembangkang, bila ada cadangan pemerintah usul SPRM, saya dukung. Malah saya kata belum cukup berani.
“Baru-baru ini ada tindakan SPRM terhadap salah satu tokoh besar yang dianggap paling ‘maha kaya’. Belum ada suara daripada pembangkang,” katanya.
Anwar berucap merasmikan Sidang Kemuncak Anti-Rasuah Kebangsaan (NAC Summit) 2024 di Kuala Lumpur, hari ini yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Pengerusi HRD Corp, Datuk Shahul Dawood.
Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan bahawa mana-mana anggota Kabinet di bawah pimpinannya yang didapati terlibat dengan salah laku rasuah, wajib digugurkan daripada jawatan disandang.
“Sudah setahun lebih kita memerintah, banyak diserang, tetapi saya tanya di Parlimen dan di luar Parlimen beri satu bukti menteri, Perdana Menteri sekarang kalau mereka ada rasuah, dan kalau ada, kita siasat, dakwa dan ikut badan kehakiman, hukum.
“Namun tidak ada dan setahun tiga bulan saya ‘tabik’ dengan rakan-rakan, kita boleh beri imej rakan kepimpinan yang bersih daripada rasuah dan ingatan itu jelas” katanya.
Beliau dengan tegas berkata, tindakan itu bagi menyelamatkan negara daripada gejala rasuah dan beliau juga telah mengarahkan SPRM untuk mengambil tindakan terhadap jemaah Menteri yang didapati terlibat dengan salah laku itu.