Nasional

Perbadanan Tanah Bumiputera perlu ditubuh, tingkat pemilikan tanah – Zahid

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan untuk mewujudkan Perbadanan Tanah Bumiputera.

Menurut beliau, perbadanan itu bertanggungjawab dalam merangka mekanisme yang membolehkan pemilikan tanah Bumiputera ditingkatkan dan dimanfaatkan pada masa hadapan.

Katanya, penubuhan itu merupakan langkah proaktif untuk menjamin keseimbangan demografi kaum dan mewujudkan kelangsungan kawasan usaha Bumiputera bagi tujuaan pertanian, perindustrian dan penempatan baharu.

“Adalah disyorkan, semua tanah-tanah berstatus pajakan melebihi 50 ekar bagi kawasan pertanian ataupun plot-plot industri yang melebihi 20 ekar, apabila sampai tempoh tamat pajakan dan dipohon untuk penyambungan,” katanya.

Zahid optimis usaha ini memberi pulangan dan peluang yang lebih besar kepada Bumiputera untuk memiliki sebahagian daripada aset tanah negara.

Beliau berkata, dalam memastikan bumiputera tidak ketinggalan dalam menyertai peluang ekonomi dan teknologi baharu, tiga matlamat utama digariskan iaitu Keadilan Sosioekonomi, Kemampanan Negara Bangsa dan Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat.

Pada masa yang sama, katanya, Transformasi Ekonomi Bumiputera perlu dijadikan sebagai satu dasar besar yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi Bumiputera dan menarik pelaburan antarabangsa.

Tambah beliau, inisiatif itu bagi membina landasan ekonomi yang kukuh untuk kemampanan jangka panjang.

“Kita mesti berani mencipta kekuatan dalam menjalin hubungan luar melalui promosi dan diplomasi perdagangan serta kerjasama antarabangsa.

“Janganlah kita hanya berlegar di arena domestik tetapi gapailah pasaran sejagat yang mempunyai potensi nilai pasaran melebihi AS$5 trilion menjelang tahun 2030,” katanya.

Justeru, melalui dasar Transformasi Ekonomi Bumiputera, usaha membina kemampanan bagi negara bangsa dapat dicapai.

Terdahulu, Zahid hadir merasmikan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya yang berlangsung bermula hari ini hingga 2 Mac 2024.

KEB 2024 melaksanakan Transformasi Ekonomi Bumiputera sebagai satu dasar baharu yang progresif bertujuan merapatkan jurang sosioekonomi dalam kalangan rakyat.

Bertemakan ‘Positif. Progresif. Inovatif’, KEB 2024 adalah landasan penting dalam mencari jalan lebih serius bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera.

Related Articles

Back to top button