PLKN 3.0 bukan agenda politik seperti didakwa – Menteri
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bakal diperkenal semula tahun hadapan bukan agenda politik seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program tersebut memberi pendedahan tentang semangat kenegaraan dan latihan ketenteraan.
Katanya, antara aspek yang dinilai ialah kurikulum, pelaksanaan dan usaha antara agensi yang boleh membantu memantapkan program berkenaan.
“Kita dalam proses untuk menentukan kurikulum dan PLKN yang akan diperkenalkan semula itu, lebih kurang dalam 20 peratus pengisian berkaitan kenegaraan manakala 80 peratus lagi adalah berasaskan kepada latihan ketenteraan.
“Jadi adalah tidak benar jika dikatakan bahawa ianya adalah usaha untuk mempengaruhi atau ada elemen itu (agenda politik) kerana kalau kita lihat di sesetengah negara yang ada perkhidmatan yang berwajib, ‘national service’, tidak timbul soal itu,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan sedang dalam proses untuk memuktamadkan modul PLKN 3.0 yang dijangka bermula seawal tahun hadapan.
Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Jasamu Dikenang Kementerian Pertahanan Tahun 2024 di Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu, sebanyak 67 peratus responden Tinjauan Awam PLKN 3.0 bersetuju dengan pelaksanaan semula program namun terdapat kebimbangan dalam kalangan responden termasuk gangguan seksual, kes buli dan kandungan berunsur politik.