ekonomi

PM Anwar pengerusikan mesyuarat pembangunan negeri Johor

Kementerian Ekonomi diberi tanggungjawab bagi menyelaras mesyuarat peringkat jawatankuasa kerja berkaitan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura Special Economic Zone (JS-SEZ)

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu hantaran di laman Facebooknya berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Pembangunan Negeri Johor yang dipengerusikannya di Putrajaya pada petang semalam.

“Mesyuarat telah membincangkan status terkini kemajuan JS-SEZ dan Zon Kewangan Khas (SFZ),” kata Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Mesyuarat itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, beberapa menteri serta ketua setiausaha kementerian yang terlibat.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengetuai delegasi kerajaan negeri yang turut disertai ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri berkaitan.

BACA LAGI: IMFC Johor siap tahun ini, jadi pemangkin pacu ekonomi negeri – Menteri Besar

Sementara itu tambah Anwar, beberapa program dan projek menaik taraf infrastruktur dan kemudahan rakyat juga dibincangkan dalam mesyuarat itu.

“Antaranya Lebuhraya Senai ke Sedenak, Sedenak ke Simpang Renggam dan Senai ke Desaru. Rancangan Tebatan Banjir bagi daerah Segamat, Kota Tinggi dan di Batu Pahat. Pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 dan kerja-kerja menaik taraf Hospital Sultanah Aminah, Bangunan Sultan Iskandar serta Kompleks Sultan Abu Bakar.

“Cadangan penyuraian, pengurusan trafik dan kesesakan lalu lintas di Bandaraya Johor Bahru serta hala tuju Iskandar Rapid Transit. Bekalan air Johor melibatkan Sungai Pontian Besar, Sungai Sedili Besar, Sungai Gembut, Air Layang 2 dan Sungai Johor.

“Semua projek itu merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat khususnya warga Johor yang akan menikmati manfaat jangka panjang,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button