Parlimen

Ringgit dijangka kukuh ke paras RM4.50 menjelang hujung tahun – Amir Hamzah

Ringgit dijangka terus mengukuh pada tahun ini, diniagakan pada RM4.50 berbanding dolar AS pada akhir 2024, didorong oleh kedudukan ekonomi negara yang positif, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, kerjasama Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersedia untuk meningkatkan aliran masuk wang ke dalam pasaran pertukaran asing bagi mengukuhkan nilai ringgit.

Katanya, BNM juga sentiasa bersedia untuk mengambil langkah campur tangan dalam pasaran pertukaran mata wang asing untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.

“Sebagai contoh, BNM akan menjual mata wang dolar AS daripada rizabnya untuk menyekat kelemahan ringgit yang berlebihan.

“Usaha yang dilakukan kerajaan menunjukkan keberkesanan dan tiada keperluan untuk menggunakan instrumen seperti tambat ringgit atau menutup pertukaran ringgit seperti yang dilakukan semasa Krisis Kewangan Asia,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin tahu mengenai jangkaan kerajaan untuk melihat mata wang negara pulih kepada tahap berpatutan dan langkah-langkah yang diambil oleh BNM untuk mengukuhkan nilai ringgit.

Amir Hamzah berkata, pergerakan ringgit dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan kejatuhan yang dialami dalam tempoh terdekat ini sebahagian besarnya didorong oleh pengukuhan dolar AS dan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China.

Beliau berkata, faktor ini turut memberi kesan kepada mata wang serantau lain.

Katanya, setakat 28 Februari lepas, nilai ringgit telah menyusut -3.5 peratus berbanding dolar AS, sejajar dengan mata wang serantau seperti yen Jepun (-6.3 peratus), baht Thailand (-4.7 peratus) dan won Korea (-3.3 peratus).

Katanya, BNM akan terus memantau pasaran kewangan dan mengambil langkah-langkah perlu termasuk campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang berlebihan.

Pada Selasa lalu, matawang negara menjunam sekitar RM4.80 berbanding dolar Amerika Syarikat sejak krisis kewangan Asia 1998.

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan situasi ekonomi negara ketika ini tidak boleh disamakan dengan krisis kewangan pada 1998 kerana kedudukan negara kini jauh lebih baik.

Anwar berkata, pada 1998, selain kejatuhan ringgit, kadar inflasi dan pengangguran adalah tinggi, selain tiada pelaburan asing masuk dalam negara.

Related Articles

Back to top button