Negeri

Selangor peruntukan RM1 juta setiap tahun, perkasa tahfiz kemahiran

Kerajaan Negeri Selangor terus membuka lebih banyak peluang dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar tahfiz di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sejumlah RM1 Juta diperuntukkan setiap tahun bagi menjayakan program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) kepada golongan itu.

Ia jelasnya termasuk program latihan di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) yang diperluas ke maahad tahfiz diiktiraf sejak 2021.

“Program ini diperkenal bagi membantu anak-anak tahfiz Selangor untuk meneruskan pengajian mereka dalam bidang kemahiran seperti automotif, elektrik, teknologi maklumat, pastri dan kulinari, penyediaan pakaian wanita dan penyamanan udara.

“Setiap pelajar tahfiz itu mempunyai subsidi di antara RM4,900 sehingga RM15,075 bagi memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari kemahiran teknikal yang diperlukan di pasaran pekerjaan,” katanya di Dewan Negeri Selangor pada Rabu.

BACA LAGI: Kerajaan akan terus perkukuh dasar pendidikan tahfiz – Dr Mohd Na’im

Terdahulu beliau menjawab soalan wakil rakyat Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz berhubung inisiatif Kerajaan Negeri untuk membantu pelajar tahfiz yang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu menurut Amirudin, sehingga Disember lalu seramai 103 pelajar tahfiz terpilih mengikuti program IKTISASS di STDC bagi kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua hingga empat.

“Secara asasnya kadar kebolehpasaran graduan STDC mencapai hampir 80 peratus dan mendapat pekerjaan dalam bidang kemahiran yang dipelajari mereka,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button