Umum

Sultan Selangor dukacita kenyataan Presiden Pas terhadap Raja-Raja Melayu

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita dengan kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam artikel berjudul ‘Ketinggian Islam Wajib Dipertahankan’ dengan menyifatkan Ahli Parlimen Marang itu sebagai tidak beradab.

Baginda dalam satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office, menegur kenyataan sinis itu yang secara tidak langsung mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-Raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat.

Malah sepucuk surat kepada Hadi telah diutuskan melalui Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ab Halim Tamuri dengan menyifatkan pemimpin Pas itu tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari lalu.

“Mengaitkan titah ucapan baginda dengan sikap Raja-Raja yang perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia semata-mata adalah satu kenyataan yang amat tidak bersesuaian serta tidak beradab dari sudut budaya orang Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan dan nasihat kepada Raja-Raja Melayu,” menurut kenyataan itu.

Baginda bertitah, kenyataan Hadi bukan sahaja mengelirukan malah boleh membawa kegelisahan yang akhirnya boleh menjurus kepada perpecahan umat Islam khususnya di kalangan orang Melayu.

Terdahulu, Hadi dalam artikel diterbitkan pada 20 Februari 2024, mengingatkan “penganut Islam menjaga dan mempertahan akidah masing-masing, bukanlah menghina, khususnya pengamal undang-undang dan semua terlibat dengannya daripada kalangan para hakim dan peguam, termasuk Ahli Parlimen dan ADUN, bahkan Raja-Raja supaya berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat sana, bukan memandang kepentingan dunia di sini sahaja”.

Hadi berkata, Perlembagaan Persekutuan digubal penjajah menipu umat Islam dengan tujuan tidak mahu sesekali memberikan kuasa kepada Islam.

Sultan Selangor turut bertitah agar Hadi berhati-hati membuat sebarang kenyataan dengan meneliti dan memperhalusi titah ucapan baginda sebelum ini.

“Kenapa sekarang beliau mempertikaikan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara sedangkan agama Islam telah ditetapkan sebagai agama persekutuan semenjak Perlembagaan digubal pada tahun 1957 lagi,” titahnya sambil menasihatkan Hadi lebih waspada tidak mengulangi perbuatan menghina Raja-Raja Melayu.

Baginda juga menegaskan ahli dan pemimpin politik tidak memperalat Islam dan mencemari kesucian agama itu demi kepentingan politik masing-masing.

Related Articles

Back to top button