KEB 2024: Ramanan gesa kerajaan terus perkasa modal insan tanpa pinggir kaum lain
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan menggesa kerajaan terus menumpukan usaha pembinaan bakat merentas kaum tanpa diskriminasi.
Harapan itu dinyatakan Ramanan pada sesi Diskusi MADANI bertajuk ‘Aspirasi Perpaduan Memperkukuh Agenda Bumiputera’ pada hari pertama Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Putrajaya pada Khamis.
Menyifatkan modal insan sebagai aset terbesar dimiliki mana-mana negara, Ramanan berkata, ia perlu diperkasa agar Malaysia dapat terus bersaing di pentas global.
“Agenda pemerkasaan bumiputera juga perlu mengambil kira kaum lain yang masih ketinggalan dari aspek pendidikan dan ekonomi terutama kaum India yang masih memerlukan tumpuan serta bantuan daripada kerajaan, ” katanya menurut laporan media.
KEB, yang berlangsung selama tiga hari hingga 2 Mac ini, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada Sesi Libat Urus meliputi 10 kumpulan.
Berkonsep lebih inklusif dengan jemputan penyertaan masyarakat Cina dan India, walaupun kongres bertujuan tumpuan kepada masalah dihadapi Bumiputera namun kerajaan mengambil sikap terbuka dalam menangani beberapa isu bersama kaum lain.
BACA LAGI: KEB 2024: agenda perkasa ekonomi bawa manfaat untuk semua – Pengarah MINDA-UKM
Sementara itu ketika membangkitkan permasalahan masyarakat India Ramanan berkata, masalah kemiskinan bandar dalam kalangan masyarakat itu adalah cabaran utama bagi pembangunan kaum India di Malaysia.
“Masalah ini juga bertambah dengan kebanjiran pekerja asing di negara ini yang telah menjadi pilihan majikan dalam kerja-kerja 3D iaitu Dirty, Difficult and Dangerous terutama warga Indonesia dan Bangladesh,” katanya.