ekonomi

Kerajaan berjaya capai sasaran defisit fiskal lima peratus

Kerajaan Perpaduan berjaya mencapai sasaran defisit fiskal lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM91.4 bilion pada 2023 berbanding 5.6 peratus atau RM99.5 bilion yang dicatat pada 2022.

Kementerian Kewangan (MoF) melalui jawapan disiarkan di laman sesawang Parlimen berkata, kerajaan menganjurkan paras defisit akan dapat terus dikurangkan kepada 4.3 peratus pada tahun ini.

“Kerajaan akan meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara berperingkat bagi memastikan kemampanan kewangan jangka masa sederhana dan panjang,” kata MoF sebagai menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang ingin tahu perincian mengenai kedudukan terkini hutang kerajaan, pinjaman baharu serta kadar defisit fiskal sehingga kini.

Menjawab mengenai kedudukan hutang negara, MoF memaklumkan keseluruhan hutang kerajaan sehingga akhir Disember 2023, adalah sebanyak RM1.17 trilion atau 64.3 peratus daripada KDNK.

Pertumbuhan hutang pada 2023 ialah 8.6 peratus lebih rendah berbanding 2022 yang mencatatkan 10.2 peratus.

“Komposisi hutang kerajaan terdiri daripada hutang dalam negeri berjumlah RM1.14 trilion atau 97.5 peratus dan pinjaman luar pesisir sebanyak RM29.8 bilion atau 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan hutang kerajaan.

“Kedudukan pendedahan hutang dan liabiliti kerajaan pada akhir-Disember 2023 pula adalah sebanyak RM1.53 trilion atau 84 peratus daripada KDNK. Jumlah ini meliputi hutang kerajaan berjumlah RM1.17 trilion, komitmen jaminan berjumlah RM226.1 bilion dan liabiliti lain berjumlah RM133.7 bilion,” menurut MoF.

BACA LAGI: Kerajaan fokus turunkan defisit fiskal, tingkat keyakinan pelabur

Dari segi had statutori, instrumen hutang yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) mencatatkan 62.1 peratus daripada KDNK.

Ia jelasnya masih di bawah had statutori ditetapkan iaitu 65 peratus.

“Pinjaman luar pesisir pula berjumlah RM29.9 bilion dan Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) berjumlah RM5.5 bilion, kedua-duanya juga di bawah had statutori yang ditetapkan iaitu masing-masing RM35 bilion dan RM10 bilion.

“Kerajaan kekal komited untuk menurunkan paras hutang seperti sasaran yang telah ditetapkan di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) iaitu paras keseluruhan hutang di bawah 60 peratus daripada KDNK yang perlu dicapai dalam jangka masa sederhana,” menurut MoF.

Related Articles

Back to top button