Semasa

PDRM siasat Hadi Awang terkait hinaan terhadap Raja-Raja Melayu

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kenyataan bertajuk ‘Ketinggian Islam wajib dipertahankan’ pada 20 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, satu siasatan dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Polis telah buka kertas siasatan membabitkan kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi.

“Setakat ini keterangan Abdul Hadi masih belum diambil memandangkan keadaan kesihatan beliau yang tidak begitu baik,” katanya pada Jumaat.

Tambah Razarudin, pihaknya masih menunggu waktu yang sesuai untuk memanggil dan mengambil keterangan Ahli Parlimen Marang itu.

Pada Khamis, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Hadi Awang yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Dalam pada itu, Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menyoal pendirian Perikatan Nasional (PN) negeri terhadap kebiadaban presiden Pas yang dimurkai Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Timbalan Pengerusinya Borhan Aman Shah mempertikai adakah PN sanggup membelakangi titah Sultan Selangor semata-mata menjaga hati pemimpin dan penyokong Pas.

“Justeru, MPN Selangor ingin bertanya apakah pendirian PN Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap kebiadapan Hadi yang dimurkai Sultan Selangor?

“Ini terbukti dalam kes Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Pengerusi PN Kedah), PN Selangor kekal membisu meskipun Sultan Selangor dukacita dan murka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Related Articles

Back to top button