PM Anwar guna kenderaan baharu kurniaan Yang di-Pertuan Agong
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor menggunakan kenderaan rasmi baharu jenama Mercedes.
Kenderaan baharu jenis S- Class berwarna hitam dengan nombor pendaftaran VEV 1158 itu disedari digunakan Anwar semasa ke Parlimen pada Khamis.
Utusan Malaysia melalui laporannya berkata, hasil semakan dan sumber telah mengesahkan kenderaan yang digunakan Perdana Menteri itu didaftarkan atas nama Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Malah nombor pendaftaran di kenderaan itu adalah sempena dengan bulan dan tahun keputeraan baginda.
Perdana Menteri, yang disoal media mengenai kenderaan baharu itu hanya berkata: “Kurnia.”
BACA LAGI: Ahli Parlimen pembangkang keluar Dewan bantah PM Anwar ucap tahniah kepada Agong
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sememangnya terkenal dengan sikap perihatin dan kemurahan budinya.
Baginda sebelum ini pernah mengurniakan 10 Perodua Myvi kepada jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.