Semasa

Pokok Sena alami gelombang haba, daerah terpanas di Malaysia – METMalaysia

Daerah Pokok Sena di Kedah dikategori mengalami gelombang haba selepas merekodkan status cuaca panas tahap dua, pada Khamis.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan, amaran cuaca panas tahap dua berlaku apabila suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Katanya, daerah yang merekodkan status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga turut meningkat dengan 23 daerah disenarai dalam kategori terbabit.

Selain Kuala Lumpur, kawasan yang merekodkan status cuaca panas tahap satu di Semenanjung ialah Perlis, Pulau Langkawi, Kota Setar, Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Yan, Pendang dan Baling di Kedah, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, dan Timur Laut di Pulau Pinang, Kuala Kangsar di Perak, serta Petaling dan Sepang di Selangor.

Katanya, Beaufort di Sabah dan Limbang di Sarawak turut tersenarai dalam kategori berjaga-jaga.

“Cuaca panas tahap satu pula dikeluarkan apabila suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut,” katanya pada satu hantaran di Facebook.

Untuk maklumat cuaca terkini, orang ramai boleh merujuk di www.met.gov.my atau melalui aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi METMalaysia.

Related Articles

Back to top button