Raja Harald V dilapor makin pulih, terima rawatan baik di Malaysia
Raja Norway Raja Harald V yang sebelum ini dilapor menjalani rawatan di Hospital Sultanah Maliha (HSM) di Langkawi, Malaysia semakin pulih.
Pihak istana Norway menerusi laman sesawang www.royalcourt.no berkata, perkembangan positif kesihatan Raja Harald V disahkan oleh doktor peribadinya di Langkawi.
“Baginda dirawat dengan baik di hospital dan menerima rawatan yang baik,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Raja Harald V,87, yang sedang dalam lawatan peribadi ke Malaysia dilapor dikejarkan ke hospital setelah mengalami jangkitan.
Baginda menjadi ketua negara istiadat Norway sejak 1991 dan merupakan raja tertua yang masih hidup di Eropah.
Baginda telah berulang kali dimasukkan ke hospital dengan jangkitan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
BACA LAGI: Raja Norway alami jangkitan, sedang dirawat di Pulau Langkawi
Sementara itu Istana Norway berkata, Raja Harald V akan berada di hospital untuk beberapa hari lagi dan belum ada keputusan dibuat berhubung keberangkatan pulang baginda ke tanah air.
“Kedutaan Norway di Kuala Lumpur telah menawarkan bantuan praktikal semasa lawatan ini,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyatakan bahawa program rasmi bagi seluruh kerabat diraja akan diteruskan seperti yang dirancang.