Tindakan akan diambil terhadap pihak provokasi agama, perkauman
Kerajaan tidak akan berkompromi dengan segala bentuk anasir dan provokasi agama serta perkauman, tegas Timbalan Menteri Komunikasi.
Teo Nie Ching berkata, sehubungan itu tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan provokasi berkaitan isu sensitif terutama berkaitan agama dan kaum.
Sementara itu beliau turut menegaskan, pengamal media di negara ini juga bebas untuk menyampaikan maklumat dan pemberitaan tanpa halangan daripada pihak berkepentingan.
Ia jelasnya selagi penggunaan media elektronik tidak melanggar mana-mana peruntukan terutama di bawah Seksyen 211 dan Seksyen 233 akta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Komitmen kerajaan (terhadap kebebasan media) diterjemah melalui kedudukan Malaysia di tangga ke-73 daripada 180 negara dalam Laporan Indeks Kebebasan Media 2023 oleh Reporters Without Borders (RSF).
“Landskap media di Malaysia tidak tertakluk kepada kaedah penilaian yang berlandaskan media Barat.,” katanya ketika ditemui di Kamar Khas Dewan Rakyat pada Khamis.
BACA LAGI: Sultan Selangor dukacita kenyataan Presiden Pas terhadap Raja-Raja Melayu
Tambahnya, kerajaan juga sentiasa menyokong prinsip kebebasan media dan menjamin hak kebebasan bersuara seperti termaktub di bawah Fasal 1(a) Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Namun, kebebasan media hendaklah berpandukan kod etika bagi memastikan ia tidak disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.
“Kod Etika Wartawan Malaysia juga sudah diperkenalkan sebagai garis panduan agensi media, sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat diyakini rakyat,” katanya dipetik.