Usaha kurangkan defisit negara perlu diteruskan, kembalikan keyakinan pelabur – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu usaha untuk mengurangkan defisit fiskal negara diteruskan agar ia tidak membebankan generasi akan datang.
Beliau berkata, usaha dan inisiatif berterusan itu penting untuk negara mencapai sasaran defisit fiskal yang lebih rendah dan pada masa yang sama dapat terus mengembalikan keyakinan pelabur dalam dan luar negara untuk melabur di negara ini.
“Pelaburan (negara) masuk dengan rekod tertinggi dalam sejarah kerana keyakinan pelabur domestik dan luar.
“Inflasi kita juga berada di tahap rendah dan kadar pengangguran juga kian rendah,” katanya.
Dilaporkan bahawa Malaysia sebelum ini telah mencatatkan jumlah pelaburan yang diluluskan sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 iaitu 23 peratus lebih tinggi berbanding 2022, sekali gus menjadikannya yang tertinggi dalam sejarah negara.
Sementara itu, Anwar berkata, walaupun negara kini dicabar dengan kejatuhan nilai ringgit tetapi Bank Negara Malaysia (BNM) melalui Jawatankuasa Dasar Monetari telah mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk mengekang mata wang tempatan daripada terus menjunam.
“Tidak wajar untuk dikaitkan dengan soal ringgit (yang rendah) padahal inflasi kita juga berada di paras yang rendah.
“Semasa berlaku krisis kewangan 1998, nilai ringgit jatuh merudum dan inflasi terus melonjak. Pelaburan juga tiada, pengangguran meningkat dan syarikat yang jatuh muflis mencecah ratusan ribu.
“Hal sedemikian tidak berlaku pada masa ini dan kita harus melihat dalam konteks keseluruhan,” kata beliau.
Terdahulu, Anwar hadir merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil 2024 di Menara Hasil, Cyberjaya yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.