Nasional

137,520 usahawan Tekun culas bayar pinjaman bernilai RM1.1 bilion

Seramai 137,520 usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) tidak membayar tunggakan pinjaman melebihi enam bulan yang berjumlah RM1.1 bilion.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan berkata, daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan jumlah peminjam tertinggi iaitu seramai 22,662 orang, diikuti Sabah 16,945 dan Kedah 14,823 orang.

Beliau berkata, pihaknya menyeru peminjam Tekun supaya melaksanakan tunggakan supaya manfaat itu dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia lain yang memerlukan.

“Saya dimaklumkan, sehingga Januari 2024, kadar tunggakan pembiayaan adalah sebanyak 12.66 peratus di seluruh negara manakala di Selangor, kadar tunggakan pembiayaan dicatatkan pada kadar 21.53 peratus.

“Saya harap para peminjam dapat menjelaskan baki pembiayaan mengikut jadual.

“Kita mestilah menjadi masyarakat yang bertanggungjawab kerana kalau kita tidak bayar balik pinjaman yang diberikan, manfaat ini tidak dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia lain yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannnya ketika merasmikan Karnival Tekun Madani peringkat Selangor di Petaling Jaya, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Tekun Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Karnival Tekun Madani menjadi platform terbaik untuk usahawan dapatkan informasi berkaitan pembiaaan Tekun dan perkhidmatan yang disediakan oleh kementerian dan agensi.

Sejak kewujudan agensi itu pada 1998 sehingga Januari 2024, Tekun Nasional menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada 574,348 orang usahawan di seluruh negara bernilai RM9.15 bilion.

Related Articles

Back to top button