Anwar

Kerajaan lulus peruntukan RM1 bilion, lahir generasi baharu usahawan Bumiputera – PM Anwar

Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM1 bilion bagi melahirkan lebih ramai generasi baharu usahawan Bumiputera, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, usaha untuk melahirkan lebih ramai golongan itu akan dipertangungjawab kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Dana RM1 bilion ini bertepatan dengan hasrat dan syor yang dihujahkan semasa kongres ini berlangsung iaitu untuk mewujudkan sebuah Dana Pemacu Transformasi Bumiputera.

“Kita mampu mencipta lebih banyak syarikat usahawan Bumiputera berjaya seperti Aerodyne yang berjaya menembusi pasaran global dalam perkhidmatan dron. Kita juga harus
berbangga dengan kejayaan Les Copaque dan Animonsta yang mengungguli industri karya kreatif.

“Begitu juga dengan kejayaan ramai usahawan muda yang memanfaatkan sepenuhnya kelebihan teknologi digital baharu untuk berniaga seperti Saudara Khairul Aming, katanya ketika berucap pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, hari ini.

Pada masa yang sama, Anwar turut mengumumkan bahawa Pelaburan Hartanah Berhad dan Permodalan Nasional Berhad diamanahkan untuk menerajui dan memacu pembangunan komersial di tanah-tanah rizab Melayu yang terbiar.

“Kerajaan bersetuju menyediakan Skim Perumahan Madani di tanah rizab Melayu dengan sasaran membangunkan 2,500 unit rumah mampu milik dalam kadar segera.

“Kerajaan juga akan memastikan pemilikan sejumlah 200 ekar tanah kerajaan, termasuk 50 ekar tanah di Bandar Malaysia kekal dimiliki orang Melayu bagi menjamin ketersediaan perumahan mampu milik untuk Melayu supaya kekal di kawasan pusat bandar,” katanya.

Related Articles

Back to top button