Global

Malaysia gesa anggota UNEA tamatkan pencemaran plastik

Semua negara anggota Perhimpunan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEA) digesa agar meneruskan aspirasi untuk menamatkan pencemaran plastik.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad menyampaikan gesaan itu melalui Kenyataan Negara Malaysia pada Perhimpunan Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-enam (UNEA-6) di Nairobi, Kenya.

Tegas Nik Nazmi, pencemaran plastik adalah satu daripada isu paling mendesak di dunia dan merupakan krisis yang semakin kritikal yang berupaya membawa ancaman besar kepada ekosistem.

“Berdasarkan Resolusi 5/14 UNEA 5.2, Jawatankuasa Perundingan Antara Kerajaan (INC) sedang membangunkan instrumen antarabangsa yang mengikat secara sah mengenai pencemaran plastik.

“Justeru, kami menggesa semua negara anggota untuk mengingati aspirasi Resolusi 5/14 iaitu untuk menamatkan pencemaran plastik,” katanya.

Melalui kenyataan itu, beliau menegaskan pendirian Malaysia yang terus komited untuk memainkan peranan penting dalam menangani cabaran alam sekitar global dan telah mengambil pelbagai langkah untuk menyokong agenda biodiversiti global untuk generasi akan datang.

“Kami telah melaksanakan dasar dan inisiatif untuk mencapai kelestarian alam sekitar selaras dengan agenda pembangunan negara dan matlamat pembangunan mampan.

“Tindakan kami juga sejajar dengan komitmen di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim dan Perjanjian Alam Sekitar Pelbagai Hala yang lain,” jelasnya.

BACA LAGI: Kerajaan sentiasa bersedia hadapi cuaca panas, kering serta fenomena El Nino 

Memetik Perjanjian Paris sebagai contoh, Malaysia menurutnya berhasrat mengurangkan intensiti karbon seluruh ekonomi sebanyak 45 peratus pada 2030 berbanding paras yang dicatat pada 2005.

“Kami bercita-cita untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau (GHG) bersih-sifar paling awal menjelang 2050 di bawah Strategi Pembangunan Karbon Rendah Jangka Panjang (LT-LEDS) kebangsaan yang akan dimuktamadkan menjelang tahun ini,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button