Semasa

MARA sedia teliti cadangan kuota khas pelajar Orang Asli di MRSM

Majlis Amanah Rakyat (MARA) bakal meneliti permohonanan kuota untuk menempatkan anak-anak masyarakat Orang Asli ke dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata begitu sebagai mengulas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor agar golongan itu diberikan kuota khas memasuki MRSM serta sekolah berasrama penuh (SBP).

“Insya-Allah kita akan bincangkan itu semua kerana perkara-perkara ini dilontarkan dalam kongres.

“Ia menjadi satu resolusi sudah tentu sebagai agensi pelaksana (MARA) kita akan laksanakan apa sahaja yang diaspirasikan oleh akar umbi,” katanya ketika ditemui pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Terdahulu, Ramli yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat meminta sekurang-kurangnya lima peratus kemasukan anak Orang Asli ke MRSM.

Beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat mendedahkan sehingga kini, golongan itu masih tidak diberikan ruang untuk memasuki MRSM.

Justeru tambahnya, langkah itu suatu perkara penting dalam memastikan golongan Orang Asli terus diperkasa dan tidak lagi ketinggalan.

BACA LAGI: Dakwaan Orang Asli Pahang terpinggir hanya tohmahan pembangkang – Wan Rosdy

“Bukalah pintu MRSM kepada kami, satu peratus pun tidak mengapa. Tak dapat satu pun, 0.5 peratus pun boleh. Pastikan Orang Asli juga ada di MRSM. Di SBP juga, tolonglah,” katanya.

Sementara itu, Asyraf menegaskan, pihaknya tidak keberatan mempertimbang sebarang perkara yang dibangkitkan pihak berkepentingan melalui Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) yang diadakan.

Related Articles

Back to top button