Semasa

Masyarakat pribumi digesa keluar dari kepompong, usaha tingkat sosio ekonomi

Masyarakat peribumi digesa berubah meningkatkan taraf sosio ekonomi mereka agar tidak ketinggalan berbanding bangsa lain di negara ini.

Gesaan itu dinyatakan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Ramli Mohd Noor pada sesi pembentangan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB2024) di Pusat Perdagangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada Jumaat.

Ramli yang merupakan Ahli Parlimen Orang Asli berkata, masyarakat pribumi perlu mengurangkan tabiat berhibur secara melampau dan mengelak daripada aktiviti negatif yang merugikan mereka.

“Kurangkanlah berhibur… Orang Asli seni cukup hebat… (tetapi) berhibur hadkanlah sampai jam 10 malam… jangan sampai esok pagi, Tok Batin saya harap nasihatkanlah,” katanya.

KEB 2024 yang bermula pada Khamis dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi serta Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA), diadakan bagi menetapkan hala tuju, dasar dan pendekatan baharu agenda pemerkasaan bumiputera.

Sesi kemuncak KEB2024 akan dirasmikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

BACA LAGI: PM harap KEB 2024 cetus anjakan perkasa agenda ekonomi bumiputera

Sementara itu, Ramli menggesa supaya Orang Asli keluar daripada kepompong sebagai bangsa yang hanya mengharapkan subsidi kerjaan.

Katanya, Orang Asli perlu mencontohi kemajuan Orang Melayu yang kini jauh ke hadapan berbanding mereka.

“Orang Melayu dulu rumah mereka macam rumah Orang Asli…(tetapi) sekarang Orang Melayu di mana, adik kita itu… kita kena berubah dan perkara utama adalah pendidikan.

“Jangan jadi satu bangsa yang malas bangsa yang harapkan subsidi, kita kena berubah.,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button