Global

OIC adakan mesyuarat luar biasa bincang pencerobohan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat luar biasa Majlis Menteri Luar pada Selasa ini bagi membincangkan pencerobohan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.

OIC dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, sesi itu akan diadakan di ibu pejabatnya di Jeddah, Arab Saudi.

November lalu, OIC dan Liga Arab mengadakan sidang kemuncak bersama di Riyadh, yang menerima pakai beberapa keputusan termasuk menugaskan jawatankuasa untuk melawat ibu kota dunia dan berusaha menghentikan perang Israel terhadap rakyat Palestin.

Serangan Israel di Semenanjung Gaza sejak pencerobohan Hamas pada 7 Oktober lalu telah membunuh lebih 30,000 orang dan kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak.

Manakala serangan awal Hamas membunuh kira-kira 1,200 orang.

Serangan itu juga telah menyebabkan kemusnahan besar-besaran, perpindahan dan keadaan untuk kebuluran di wilayah terkepung Palestin.

Beberapa kumpulan Palestin termasuk Hamas dan Fatah semalam sepakat meneruskan ‘tindakan perpaduan’ dalam berdepan Israel selepas wakil mereka bertemu dalam rundingan ditaja Russia.

Pertemuan di Moscow, kelmarin menghimpunkan pemimpin Hamas, Jihad Islam, Fatah serta kumpulan Palestin lain untuk berbincang mengenai perang di Gaza dan tempoh selepas perang.

Ia susulan peletakan jawatan kerajaan Pihak Berkuasa Palestin, diketuai Fatah yang berpusat di Tebing Barat diduduki.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh turut meminta konsensus intra-Palestin ketika mengumumkan peletakan jawatan dan beberapa penganalisis berkata, perkembangan itu boleh membuka jalan kepada kerajaan teknokrat yang dikendalikan Hamas, yang boleh beroperasi di Tebing Barat dan Gaza selepas perang.

Pemimpin Arab dan Barat sebelum ini juga mendesak pembaharuan kepada Pihak Berkuasa Palestin ketika mereka membincangkan kemungkinan usaha pembinaan semula.

Peperangan di Gaza dicetuskan serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mengakibatkan kematian kira-kira 1,160 orang. Namun, sekurang-kurangnya 30,228 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak pula terbunuh dalam serangan balas tentera Israel di Gaza.

Related Articles

Back to top button