Semasa

Pangkalan haram laluan penyeludup akan dihapuskan – Menteri KDN

Beberapa langkah bagi menghapuskan kemudahan termasuk pangkalan haram di sempadan negara telah dibincangkan susulan ia berisiko menjadi laluan sebarang bentuk penyeludupan.

Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perkara itu dibawakan ke mesyuarat jawatankuasa keselamatan sempadan yang diadakan baru-baru ini.

“Ia melibatkan kuasa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebab pangkalan haram itu terletaknya di tanah kuasa kerajaan negeri dan rizab sungai serta ada elemen pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Mesyuarat yang saya pengerusikan minggu lepas itu antara cadangan ke arah banteras perkara itu adalah dengan menghapuskan semua bentuk kemudahan logistik yang haram,” katanya dalam satu sidang media.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kebelakangan ini dilihat bertindak proaktif dalam usahanya menangani Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

Setakat Februari, sebanyak 58,508 tangkapan dibuat berdasarkan kepada 20,880 operasi penguatkuasaan yang diadakan.

JIM turut berjaya membongkar sindiket PATI menerusi serbuan di sebuah rumah penampungan di Demit, Kota Bharu, pada 21 Februari lalu, yang membawa tangkapan penjaga rumah, transporter dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

BACA LAGI: Pihak berkuasa terus buru PATI, gempur penempatan haram

Sementara itu tambah Saifuddin, kawalan barisan hadapan ini dilakukan 24 jam untuk semua aset darat mahu pun laut.

“Ini bukan hanya tumpu di sempadan Kelantan, tapi di kawasan Selat Melaka. Tugas hakiki KDN bukan hanya tumpu satu satu-satu ‘point’ sahaja.

“Jawapan saya, tanggungjawab menjaga sempadan negara daripada bolos sebarang anasir yang mengancam keselamatan itu adalah tugasan 24 jam kita,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button