PM gesa PERKESO, KSM sediakan modul ‘upskilling’ baharu
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) perlu memberi tumpuan kepada inisiatif untuk mempertingkat kemahiran pekerja.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan perubahan teknologi yang semakin pesat, kedua-dua entiti itu perlu melakukan anjakan paradigma dan tidak lagi terikat dengan kaedah lama yang dianggap lapuk dan penuh dengan birokrasi.
Justeru beliau memberikan tempoh sebulan untuk entiti itu mengemuka cadangan latihan baharu bagi tujuan itu.
“Kita akan ketepikan kaedah dan kerenah birokrasi. Kita cuba ubah beberapa peraturan yang ada. Saya pastikan kita boleh rombak, asalkan kita boleh capai kemajuan yang diharapkan.
“Satu bulan, keputusan yang dibuat, cadangan, bagaimana boleh kita adakan kejutan baharu dalam bentuk latihan, termasuk apa yang dimaksudkan ‘upskilling’. Jauh lebih hebat dari apa yang kita lakukan sebelum ini,” katanya.
Anwar berkata begitu ketika erasmian Karnival Kerjaya Kesuma MADANI MYFutureJobs dan TVET, PERKESO 2024, di Shah Alam pada Jumaat.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, PERKESO boleh melaksana latihan dan pendekatan baharu kepada pekerjanya bagi menambah kemahiran dan penguasaan mereka dalam AI seterusnya meningkatkan dan mengangkat mutu kerja.
“Beri kakitangan PERKESO program ‘upskilling’ dan pastikan berikan contoh yang baik seterusnya mencungkil bakat baharu.
“Pilih mana-mana pakar yang ada dan pinjam mereka sekejap untuk berikan taklimat kepada pengurusan PERKESO supaya dapat menguasai bidang AI contohnya,” tambahnya.
BACA LAGI: Hijrah Selangor peruntukkan RM300,000 anjur program latihan usahawan tahun ini
Sementara itu Anwar turut menggesa majikan mengamalkan dasar lebih inklusif dalam pengambilan pekerja, dengan mengutamakan warga tempatan dan tidak meminggirkan golongan rentan seperti OKU dan bekas banduan.
Kerajaan jelasnya akan meningkatkan insentif tunai kepada majikan yang menggaji bekas banduan, pesara dan orang kurang upaya (OKU) menerusi Program Daya Kerjaya 2.0.
“Bagaimanapun, majikan diharap tidak terlalu bergantung kepada insentif berkenaan dan pada masa sama meletakkan lebih banyak usaha bagi memastikan keadilan kepada golongan berkenaan,” katanya.