Politik

Salah anggapan Hadi Awang tinggalkan kesan mudarat kepada negara – Mujahid

Falasi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah meninggalkan kesan yang sangat memudaratkan untuk negara, kata Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Beliau yang juga Presiden Nasional Gerakan Anti Perkauman (GAP) berkata, penulisan Hadi memberikan imej yang buruk kepada sistem keadilan negara dan sistem raja berperlembagaan.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Marang itu telah menggunakan Islam yang juga agama rasmi untuk menaikkan kebencian antara rakyat dan kaum melalui pentaksubnya.

“Falasi Haji Hadi tentang isu Islam dan Syriat dalam kerangka negara terkhusus pandangannya berkaitan isu Nik Elin sangat ketara walaupun untuk mengenalpasti sesuatu falasi memerlukan penta’aqulan yang mendalam.

“Hujahan Haji Hadi dalam isu Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid terlalu mudah untuk kita mengenali betapa lemahnya deduksi beliau dan tidak konsistennya hujah beliau,” katanya.

Jelas Mujahid, tulisan Minda Presiden yang dimuatkan di Facebook Hadi sarat dengan falasi walaupun permulaan tulisan dibanjiri ayat-ayat al Quran dan Hadis.

“Bukan semua ayat Al Quran dan Hadis yang dipetik mesti menggambarkan kehebatan penulisan.

“Kehebatan penulisan ialah memahami secara mendalam nas yang dipetik dan kemudian membawa semangat ayat yang dipetik dalam suasana waqie yang hendak dibicarakan,” katanya.

Tegas Timbalan Presiden AMANAH itu, Hadi membuat deduksi yang tidak tepat dengan waqie’ seolah keseluruhan tulisan itu berada di awang-awangan dan terdedah kepada manipulasi.

“Falasi pertama isu Nik Elin dalam tulisan Hadi ialah dengan membuat rumusan bahawa semua proses ini adalah menentang ‘syariat dan menentang syariat ialah menentang Allah’.

“Falasi kedua ialah menganggap keputusan hakim-hakim dalam berpihak kepada Nik Elin adalah terdiri daripada mereka yang minda dan akalnya dikuasai tulisan pemikiran penjajah (bijaksini).

“Falasi ketiga ialah beliau mengheret Institusi Raja seolah Raja-raja Melayu tidak lagi punya agenda memartabatkan syariah. Tulisan beliau memukau pentaksubnya kerana penampilan keulamakannya lalu mereka tenggelam dalam lautan falasinya menyangkakan ianya satu kebenaran,” katanya, kesal.

Mujahid berkata, Hadi gagal memahami tugas dan fungsi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Secara institusinya MKI adalah badan berotoriti tertinggi yang diperbuat oleh Majlis Raja-Raja Melayu. Isu berkaitan otoriti Islam diberi kuasa bertaraf Institusi yang mempunyai mekanisma lebih luas dan berkuasa.

“Malah arahan menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk tangani isu kompetensi antara kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Persekutuan datang dari arahan MKI,” katanya.

Sultan Sharafuddin pada 29 Februari lalu menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat Presiden Pas tersebut, yang ditujukan kepada alim ulama, peguam, hakim, ahli-ahli parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Raja-Raja Melayu.

Related Articles

Back to top button