Wilayah

JWP sambut baik inisiatif Perumahan MADANI, tekad jayakan hasrat Perdana Menteri

JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) menyambut baik inisiatif Skim Perumahan MADANI diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, susulan itu pihaknya akan memperincikan rancangan itu di tanah rizab Melayu di sekitar Kuala Lumpur

“JWP berterima kasih kepada Perdana Menteri yang telah mengumumkan kepelbagaian dana dan inisiatif bagi pembinaan dan penzahiran bumiputera, khususnya warga bumiputera di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan serta berikrar akan mendukung aspirasi KEB,” katanya

Terdahulu pada Sabtu, Anwar mengumumkan skim perumahan itu dengan mensasarkan pembangunan 2,500 unit rumah mampu milik.

Langkah itu bukan sahaja bagi mengekalkan status tanah tersebut tetap memanfaatkan tanah rizab Melayu terbiar sekaligus menjamin ketersediaan perumahan mampu milik untuk Melayu supaya kekal di kawasan pusat bandar.

Sementara itu menurut Dr Zaliha, projek dan inisiatif di bawah penyeliaan JWP dan agensi terlibat khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan akan dipadankan dengan tiga isbat KEB 2024 dalam usaha memperkasa pembangunan dan kemajuan bumiputera.

Beliau berkata menerusi isbat itu, golongan bumiputera, khususnya di Wilayah Persekutuan akan dapat meningkatkan taraf sosioekonomi mereka dalam mendepani cabaran dan peluang masa hadapan.

Tiga isbat yang digariskan adalah memperkukuh pasak ekonomi negara, memperkukuh kerukunan tatakelola dan institusi serta menegakkan keadilan sosial.

BACA LAGI: Skim Perumahan MADANI diwujudkan, jamin kepentingan Melayu di kawasan bandar

JWP juga jelasnya akan akan memudah cara mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dalam merealisasikan isbat dan inisiatif yang digariskan dalam KEB 2024 jika berkaitan dengan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, sesuai dengan pendekatan “whole of nation” atau pendekatan senegara yang digariskan dalam Pelan Tindakan Hala Tuju Wilayah Persekutuan.

“JWP juga akan menjalinkan kerjasama dengan kementerian dan agensi berkaitan untuk melatih seberapa ramai pelatih Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam kalangan golongan miskin tegar khususnya bumiputera, agar mereka menerima tawaran pekerjaan sesuai dengan kemahiran masing-masing seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri.

“Inisiatif itu akan diletakkan di bawah Program Usaha Jaya Insan (PUJI) menerusi inisiatif Upaya@PUJI termasuk menyediakan program untuk golongan rentan supaya dapat keluar daripada kemiskinan,” kata De Zaliha melalui kenyataan itu.

Back to top button