ekonomi

KEB 2024: Inisiatif diumum langkah tepat perkasa Bumiputera – Penganalisis UKKM

Pensyarah Kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob menyambut baik pelbagai inisiatif diumum kerajaan susulan penganjuran Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024.

Dipetik laporan media, beliau berkata, inisiatif diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu meningkatkan taraf hidup bumiputera secara keseluruhan, sekali gus mencipta daya saing yang setaraf dengan kaum lain.

Ia termasuk peruntukan RM1 bilion yang diumumkan bagi melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera.

“Ia adalah satu langkah tepat pada masanya bagi menjamin kesejahteraan golongan berkenaan dalam keadaan ekonomi ketika ini,” jelasnya.

Bagaimanapun jelas Abu Sofian, beliau berharap supaya pelaksanaan setiap inisiatif itu dijalankan secara penuh telus, amanah serta berintegriti, malah tindakan yang setimpal perlu diambil sekiranya terdapat mana-mana pegawai culas atau gagal menjalankan tugas mereka.

“Kejayaan program ini bukan terletak pada (tanggungjawab) kerajaan sahaja, tetapi ia juga dipikul bersama oleh agensi berkaitan dan pegawai-pegawai mereka, ahli-ahli korporat yang berjaya dan juga Dewan Perniagaan Melayu serta koperasi-koperasi.

“Diharap juga usahawan yangg mendapat akses kepada pelbagai jenis kemudahan seperti pinjaman dan geran juga akan dibuat pemantauan yang berterusan,” katanya dipetik Bernama.

BACA LAGI: KEB 2024: agenda perkasa ekonomi bawa manfaat untuk semua – Pengarah MINDA-UKM

Perdana Menteri mengumumkan beberapa inisiatif baharu bagi Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera, antaranya kerajaan akan memperuntukkan dana berjumlah RM1 bilion bagi melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera dalam bidang pertumbuhan tinggi yang akan dikendalikan oleh Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).

Turut diumumkan adalah penubuhan Tabung Wakaf MARA MADANI dengan geran peluncuran berjumlah RM100 juta yang menyasarkan dana terkumpul berjumlah RM1 bilion dalam tempoh dua tahun, dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan untuk menjadi penaung kepada sistem wakaf itu.

Selain itu, kerajaan mengumumkan dana pembiayaan kredit mikro Bumiputera sehingga RM1 bilion melalui institusi kewangan pembangunan seperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, dan TEKUN Nasional bagi menyediakan sokongan kepada pelbagai segmen usahawan bumiputera termasuklah wanita, belia dan veteran tentera serta penjaja, pekerja gig dan pengusaha food truck (trak makanan).

Related Articles

Back to top button