Semasa

Kerajaan komited cari MH370, rungkai misteri kehilangan pesawat malang

Kerajaan komited untuk meneruskan pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 sekaligus merungkai misteri kehilangannya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya bersedia untuk bertemu firma penerokaan dasar laut, Ocean Infinity, bagi membincangkan cadangan pencarian itu atas kapasiti ‘no find, no fee’ (tidak jumpa, tiada bayaran) seperti yang dicadangkan oleh waris mangsa tragedi berkenaan.

Bagaimanapun jelasnya, beliau akan cuba mendapatkan kelulusan Kabinet berhubung perjanjian itu.

“Sudah tentu kita memerlukan kelulusan Kabinet kerana ia membabitkan implikasi kewangan. Bentuk kontrak sebelum ini sudah berakhir kerana ia membabitkan pencarian pada 2017 dan berakhir pada 2018, jadi yang ini adalah cadangan baharu daripada Ocean Infinity.

“Walaupun kita memulakan cadangan ini berasaskan ‘no find, no fee’, kita berharap pesawat itu ditemukan… dan sebaik saja ditemukan, ada implikasi kewangan kepada kerajaan.

“Saya sangat yakin Kerajaan Malaysia serta Kabinet akan meluluskan cadangan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Memperingati MH370, di Subang pada Ahad.

BACA LAGI: MOT bakal tanggung caruman Perkeso untuk 40,000 pemandu teksi

Pada majlis itu, sebahagian waris penumpang dan anak kapal MH370 berkumpul bagi memperingati tragedi berkenaan. Pelbagai pengisian diadakan, termasuk ucapan daripada waris, bacaan sajak dan tayangan video, selain pameran serpihan MH370 dan yang dipercayai kemungkinan besar milik pesawat itu.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014, sebelum ia diumumkan berakhir di Lautan Hindi.

Related Articles

Back to top button