Semasa

KPDN beri amaran tegas, peniaga jangan suka hati naik harga barang

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi amaran tegas supaya peniaga tidak terbabit kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) agar tidak bertindak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, pihaknya akan memantau perkara itu dan mengambil tindakan terhadap pihak didapati melakukan kesalahan tersebut.

“Hanya empat kategori yang terlibat kenaikan cukai SST, iaitu perhotelan, kesihatan dan kesejahteraan, pusat penyediaan latihan dan tunjuk ajar serta perkhidmatan dobi yang nilai ambangnya lebih RM500,000.

“Mereka yang tidak berada dalam kategori ini, termasuk peniaga makanan dan minuman diminta jangan mengambil kesempatan menaikkan harga.

“KPDN akan menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Senator Dewan Negara itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Karnival Jualan Rahmah Madani Pahang di Dataran Anjung Pusat Bandar Jengka pada Ahad.

Pada Sabtu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali memaklumkan Ops Kesan 2024 digerakkan bagi memantau kesan pelaksanaan kenaikan SST, dengan fokus pemantauan dan penguatkuasaan untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan mencatut atau menaikkan harga.

BACA LAGI: KPDN lancar Ops Kesan, pantau kesan kenaikan SST

Sejak Ops Kesan dilancarkan tiga hari lalu, , lebih 1,000 pemeriksaan dilakukan KPDN di seluruh negara dan 26 notis dikeluarkan kepada peniaga yang melakukan kesalahan.

Di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, peniaga tidak boleh mengambil keuntungan melebihi 50% daripada kos.

Sementara itu Fuziah berharap orang ramai lebih peka dengan maklumat berkaitan SST.

Mereka yang menghadapi masalah berkaitan kenaikan harga barangan boleh membuat aduan melalui WhatsApp 019-848 000, memuat turun aplikasi EZ Aduan KPDN, menghubungi hotline KPDN 1-800-88-800 atau melayari portal E-Aduan KPDN di eaduan.kpdn.gov.my.

Related Articles

Back to top button