Semasa

Raja Harald V dilapor berangkat pulang ke Norway pada Ahad

Raja Norway Raja Harald V yang sebelum ini mendapat rawatan kesihatan di Langkawi dilapor sudah berangkat pulang dengan pesawat Scandinavian Airlines yang lengkap dengan kemudahan perubatan pada petang Ahad.

Sebelum itu, kenderaan membawa Raja Harald V yang diiringi polis dan rombongan pengiring baginda keluar dari Hospital Sultanah Maliha (HSM) menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) pada 12.25 tengah hari.

Menurut kenyataan dikeluarkan kerabat diraja Norway dalam laman sesawang www.royalcourt.no, baginda akan menerima rawatan lanjut di Rikshospitalet sebaik berangkat tiba di Norway.

Menurut kenyataan itu baginda akan bercuti selama dua minggu dan dalam tempoh itu Putera Mahkota akan menjalankan tugas sebagai pemangku raja.

Media sebelum ini melaporkan Raja Harald V yang sedang dalam lawatan peribadi ke negara Asia Tenggara dikejarkan ke hospital setelah mengalami jangkitan.

BACA LAGI: Raja Harald V dilapor makin pulih, terima rawatan baik di Malaysia

Pada Sabtu, baginda berjaya menjalani prosedur implan perentak jantung di HSM berikutan kadar denyutan jantung baginda yang lemah seperti yang disahkan oleh doktor peribadi baginda, Bjorn Bendz.

Bendz berkata implan perentak jantung itu membolehkan baginda melakukan perjalanan pulang dengan lebih selamat.

Related Articles

Back to top button