Chegu Bard, bekas pembantu Mahathir disiasat susulan kenyataan berkaitan kereta kurniaan Agong
Polis membuka kertas siasatan terhadap Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin dan Bekas Setiausaha Politik Dr Mahathir Mohamad, iaitu Muhammad Zahid Md Arip berhubung kenyataan berkaitan kenderaan mewah kurniaan Yang di-Pertuan Agong kepada perdana menteri yang didakwa berbaur hasutan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kedua-dua individu itu sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
“Siasatan ke atas kedua-dua mereka menyusul disebabkan kenyataan yang dibuat mereka berkaitan kenderaan baharu yang digunakan perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang dikurniakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Kini, polis sedang melengkapkan kertas siasatan dan kedua-dua individu itu akan dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut kes ini,” katanya.
Razarudin sebelumnya ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pemakaian Lencana Pangkat dan Serah Terima Tugas di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur pada Isnin.
Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat menggunakan kenderaan baharu ke Parlimen iaitu jenama Mercedes Benz berwarna hitam dengan nombor pendaftaran VEV 1158, yang didaftarkan atas nama Sultan Ibrahim.
BACA LAGI: PM Anwar guna kenderaan baharu kurniaan Yang di-Pertuan Agong
Anwar sebelum ini melakukan langkah penjimatan terhadap perbelanjaan negara dengan terus menggunakan kenderaan
Sebagai rekod, pada Nov 2022 sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri, Anwar bertindak membatalkan pembelian kenderaan mewah jenis Mercedes S600 yang dibeli pentadbiran terdahulu bagi kegunaan rasmi perdana menteri.
Berbanding menggunakan kenderaan yang didakwa dilengkapi teknologi kalis peluru itu, Anwar memilih menggunakan kenderaan Proton sebagai kenderaan rasmi sebagai antara langkah penjimatan kepada perbelanjaan negara.