Nasional

KPT mulakan program Semarak Kampus Madani ke IPT seluruh negara

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memulakan program Semarak Kampus Madani atau Jerayawara KPT iaitu siri jelajah ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) termasuk Universiti Awam, Swasta, Politeknik dan Kolej Komuniti di 16 zon seluruh negara.

KPT dalam satu kenyataan memaklumkan, Sarawak menjadi zon pertama yang dipilih KPT bermula 5 hingga 6 Mac 2024, dihoskan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menerusi beberapa institusi di bawahnya.

“Program Semarak Kampus Madani ini merupakan hasil cetusan idea Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir seperti diumumkan dalam Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi 2024 di Universiti Malaya pada 12 Januari lalu.

“Berkonsepkan program turun padang, Menteri KPT bersama Timbalan Menteri dan pengurusan tertinggi KPT akan melihat situasi sebenar di peringkat institusi dan mendengar sendiri keluh kesah pelaksanaan dasar di peringkat akar umbi,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, ini adalah bagi memastikan aspek kebajikan terutamanya bagi para pelajar dan kakitangan dititikberatkan.

Pelbagai program direncanakan dan kesemua kumpulan komuniti institusi diraikan dalam siri jelajah ini bagi memperkukuhkan kerjasama strategik dan kolaborasi antara kementerian dengan IPT terlibat serta pemegang taruh pendidikan tinggi di peringkat kerajaan negeri menerusi kunjungan hormat Menteri atau Timbalan Menteri kepada Canselor, Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Difahamkan, pendekatan program ini diharap menjadi satu medan untuk warga IPT menyampaikan aspirasi dan kepimpinan pula mendengar semua isu yang timbul di segenap lapisan seterusnya mewujudkan usaha ke arah penyelesaian secara tuntas di samping mengeratkan hubungan antara kepimpinan KPT dan warganya.

Related Articles

Back to top button