Negeri

Pelabuhan pintar AI bakal dibangunkan di Port Dickson dengan kos RM2 bilion

Sebuah pelabuhan kontena pintar bercirikan kecerdasan buatan (AI) yang pertama seumpamanya Malaysia, akan dibina di Port Dickson, Negeri Sembillan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembinaan pelabuhan itu dengan anggaran kos RM2 bilion akan ditanggung sepenuhnya oleh Midports Holdings Sdn Bhd, anak syarikat milik Tanco Holdings Berhad dan merupakan rakan kerjasama Menteri Besar Negeri Sembilan-Pemerbadanan (MBINS) bagi projek tersebut.

Terletak di Pasir Panjang, ia akan mempunyai jeti sepanjang 1.8 kilometer serta terminal dan kawasan pengoperasian kontena seluas kira-kira 80.93 hektar (200 ekar) yang dilengkapi kemudahan mengangkat iaitu kren gantry yang beroperasi secara automatik.

Bakal mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai bidang,, ia dijangka akan memberi impak kepada pembangunan ekonomi bukan sahaja kepada Negeri Sembilan, malah kepada Malaysia.

“Kapasiti pelabuhan ini adalah untuk menerima kapal kontena daripada generasi pertama sehingga kepada ‘ultra max’. Ini merupakan pelabuhan sederhana kerana dari segi kapasiti tidak dapat bersaing dengan Pelabuhan Klang.

“Kawasan persisiran pantai tersebut mempunyai bentuk muka bumi semula jadi bersesuaian bagi pembinaan pelabuhan dengan kedalaman sehingga 20 meter dan jarak lebih kurang 1.85 kilometer dari pesisiran pantai,“ katanya pada majlis pemeteraian perjanjian usaha sama antara MBINS dan Midports Holdings Sdn Bhd bagi pembangunan pelabuhan itu di Seremban pada Isnin.

Mengulas lanjut Aminuddin berkata, pembinaan pelabuhan di atas tapak diwartakan sejak Ogos 2017 itu akan merancakkan industri perkhidmatan logistik dan pengangkutan marin negara.

Ia berikutan kedudukan strategik berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan jaringan jalan raya dan lebuh raya menghubungkan kawasan perindustrian sekitar Senawang, Nilai, Sepang (Selangor) dan Melaka.

“Port Dickson akan dikenali sebagai Bandar Pelabuhan Baharu dengan jaringan pengangkutan laut domestik dan antarabangsa,“ katanya.

BACA LAGI: Selangor lancar Gagasan Rumpun Selangor, jadi asas kukuh perpaduan

Menyentuh penggunaan AI, Aminuddin berkata teknologi itu semestinya memberi impak optimum dalam keseluruhan rantaian perkhidmatan marin dan kargo seperti pendaftaran masuk dan keluar kapal, penjadualan pergerakan kapal serta pengesanan operasi marin di sekitar pelabuhan.

“Menerusi teknologi AI ini, segala operasi pelabuhan tidak lagi dilakukan secara manual dan akan meningkatkan kecekapan serta mengurangkan kesilapan manusia selain kadar kemalangan ketika operasi,“ katanya.

Related Articles

Back to top button