ekonomi

Pembentukan Wakaf MARA MADANI langkah tepat perkasa komuniti Bumiputera

Pembentukan Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA) MADANI diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penutupan Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) minggu lalu dianggap langkah progresif Kerajaan Perpaduan dalam meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi Bumiputera.

Inisiatif itu menandakan komitmen kuat kerajaan dalam membina sebuah ekosistem yang lebih inklusif dan berkesan untuk pembangunan komuniti itu, kata Prof. Madya Dr Suhaimee Saahar dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Shah Alam.

“Pengumuman khas ini akan memberikan satu dampak besar kepada usaha-usaha pembangunan ekonomi Bumiputera yang hari ini sedang berdepan dengan cabaran-cabaran baru yang memerlukan pengetahuan, kemahiran, teknologi, pengurusan dan kemampanan dalam memastikan Hasrat besar ini dapat dilaksanakan.

“Dengan penyediaan geran peluncuran sebesar RM100 juta dan sasaran pengumpulan dana minimum RM1 bilion dalam dua tahun, wakaf ini diharapkan akan menjadi sumber pembiayaan berkelanjutan untuk inisiatif-inisiatif yang dapat meningkatkan kualiti hidup dan membuka peluang ekonomi bagi komuniti Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Sabtu, perdana menteri ketika mengumumkan penubuhan wakaf itu berkata, ia akan diterajui MARA dan dilaksanakan oleh Yayasan Pelajaran MARA selari dengan hasrat penubuhan agensi tersebut.

Yang di-Pertuan Agong jelasnya telah memberi perkenan untuk menjadi penaung kepada tabung wakaf tersebut.

Sementara itu tambah Dr Suhaimee, wakaf yang diwujudkan itu dijangka membuka peluang baru dalam pendidikan dengan menyediakan lebih banyak sumber untuk biasiswa, infrastruktur pendidikan, dan program pembangunan kemahiran termasuk aktiviti-aktiviti keusahawanan dan perniagaan terutamanya dalam sektor ekonomi digital.

Selain itu ia akan memperkasakan modal insan dan mewujudkan lebih banyak peluang-peluang baru terutamanya golongan belia dan wanita.

Dalam aspek kesihatan, penubuhannya diharapkan dapat meningkatkan akses ke perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, terutamanya di kawasan kurang berkembang.

“Dari segi kebajikan, wakaf akan membiayai program yang menangani isu kemiskinan dan memberikan sokongan kepada individu dan keluarga yang memerlukan. Ini menyokong usaha kerajaan untuk membasmi kemiskinan disetiap peringkat,” tambahnya.

BACA LAGI: KEB 2024: Inisiatif diumum langkah tepat perkasa Bumiputera – Penganalisis UKKM

Mengulas lanjut beliau berkata, dengan komitmen kuat dari semua pihak, Wakaf MARA MADANI berpotensi menjadi model untuk inisiatif serupa di masa depan, tidak hanya di Malaysia tetapi juga di negara-negara lain yang mencari solusi inovatif untuk pembangunan sosial dan ekonomi.

“Melalui kerjasama, dedikasi, dan inovasi, Wakaf MARA MADANI menjanjikan era baru kesejahteraan untuk komuniti Bumiputera, membuka peluang baru dan menciptakan masa depan yang lebih cerah dan inklusif bagi semua,” menurutnya dalam kenyataan tersebut.

Related Articles

Back to top button