Parlimen

Wan Saiful mohon maaf pada Agong dan PM Anwar, usul gantung enam bulan ditarik semula

Kerajaan hari ini menarik semula usul untuk menggantung Ahli Parlimen, Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan kerana mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyalahgunakan kuasa.

Keputusan menarik usul itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas Wan Saiful membuat pernyataannya semula dengan memohon maaf atas kenyataannya pada minggu lalu.

Pemimpin Bersatu itu yang diberi ruang memberi penjelasan sebelum usul itu dibacakan Zahid Hamidi, turut mengakui kekhilafannya dan memohon maaf jika kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini juga menyentuh Yang di-Pertuan Agong.

“Ayat itu memang saya tujukan kepada YAB Tambun (Anwar Ibrahim)… saya tarik balik ayat tersebut, saya tarik balik kenyataan saya dan saya juga memohon maaf atas kenyataan tersebut.

“Saya dengan rendah diri juga kerana seperti dalam usul ada sebut mengenai Yang di-Pertuan Agong atas segala kekhilafan sekiranya menyentuh perihal Yang di-Pertuan Agong dan saya juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut.

“Saya harap ia boleh dipertimbangkan dengan baik oleh Yang di-Pertua,” kata Wan Saiful.

Keputusan menarik usul itu kemudiannya dipersetujui Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sambil menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya ‘move on’.

“Ini bermaksud Yang Berhormat (Bukit Gelugor) sudah memohon maaf kepada Tambun (Anwar Ibrahim) dan menarik balik kenyataan itu. Yang Berhormat juga memohon ampun kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

“Untuk itu, saya terima dan menteri, saya anggap kita boleh selesaikan masalah ini kerana permohonan maaf sudah dibuat. Ini episod yang sudah berlalu dan Ahli Parlimen kiri (blok pembangkang) dan kanan (blok kerajaan) ‘move’ ke depan.

“Kita bincang masalah rakyat dengan tertib dan aman, akhirnya memberi natijah lebih baik. Jadi, kita tutup kes ini,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat, hari ini.

Susulan itu, Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) yang memfailkan usul itu di Dewan Rakyat berkata, beliau bersetuju untuk menarik balik usul tersebut.

“Saya mohon menarik balik usul nombor satu pada aturan mesyuarat hari ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button